Apa Beza Baja Organik dengan Baja Tak Organik?

Antara perkara yang utama dalam pertanian ialah pembajaan. Baja diberikan kepada pokok untuk membekalkan nutrien-nutrien yang diperlukan oleh pokok seperti Nitrogen, Fosforus, Potassium dan lain-lain. Dengan manjaga pembajaan, pokok-pokok kita dapat hidup subur bak juara dan mengeluarkan hasil yang mampu mengukir senyuman lebar di wajah kita. Hehe.

Tentu anda pernah mendengar istilah baja organik kan? Secara ringkasnya, baja terbahagi kepada dua iaitu baja organik dan tidak organik. Apa beza baja organik dengan baja tak organik? Mana satu yang lebih baik?

organik vs inorganik

 

Baja organik ialah baja yang dihasilkan daripada benda hidup atau bahan mineral dan mestilah boleh wujud secara semulajadi dalam alam kita. Antara contoh baja organik ialah najis haiwan, kompos dan serbuk batu kapur.

Baja organik bekerja secara perlahan kerana ia perlu diurai oleh organisma tanah untuk melepaskan nutrien yang diperlukan oleh pokok. Ia juga melepaskan nutrien dalam keadaan panas dan lembab, bertepatan dengan masa sesuatu tumbuhan paling memerlukan nutriennya. Sifat ini dapat mengelakkan pembaziran daripada berlaku kerana nutrien yang dilepaskan terus digunakan oleh tumbuhan. Perlepasan nutrien secara perlahan ini juga mengurangkan risiko kehilangan nutrien ke dalam tanah.

Baja organik seperti kompos perlu diurai terlebih dahulu oleh mikroorganisma

Baja organik seperti kompos perlu diurai terlebih dahulu oleh mikroorganisma

Nutrien yang terkandung dalam baja organik pula terdiri daripada pelbagai elemen. Trace elements (elemen yang digunakan oleh pokok pada kadar yang sangat sedikit) yang ada dalam baja organik membantu pokok untuk hidup subur dan kuat serta mempunyai daya tahan terhadap penyakit

Sementara itu, humus yang terhasil selepas bahan organik mereput dapat membaiki struktur tanah. Humus dapat meningkatkan keupayaan tanah untuk memegang air di samping memegang nutrien untuk diserap oleh akar pokok. Tanah menjadi lebih mudah dikerjakan dan mempunyai pengudaraan yang lebih baik untuk akar pokok.

Bukan itu sahaja, baja organik dapat meningkatkan aktiviti biologi dalam tanah, menjadikan tanah ‘hidup’ dan ‘kuat’. Bakteria baik dapat hidup gembira dalam tanah dan berterusan menyediakan nutrien yang diperlukan oleh pokok.

Secara ringkasnya, baja organik bukan sahaja membekalkan nutrien untuk tumbuhan, ia juga memberi kebaikan yang banyak kepada tanah. Semakin lama pembajaan organik dibuat, semakin bertambah kesuburan tanah.

Tanah yang mengandungi bahan organik lebih 'hidup' dan sihat

Tanah yang mengandungi bahan organik lebih ‘hidup’ dan sihat

Sungguhpun begitu, baja organik tetap mempunyai beberapa kekurangan. Disebabkan sifatnya yang melepaskan nutrien secara perlahan, pokok tidak mendapat nutrien serta-merta selepas baja diberikan. Penggunaan baja cecair dan semburan adalah dicadangkan sekiranya pokok memerlukan bekalan nutrien yang serta-merta.

Selain itu, baja organik memerlukan mikroorganisma untuk menguraikan seterusnya melepaskan nutrien untuk pokok. Penggunaan air berklorin untuk pengairan serta penggunaan racun kimia akan mematikan organisma-organisma ini. Justeru, pengguna baja organik perlu menggelakkan penggunaan racun khususnya kepada tanah dan menggunakan air yang bebas klorin.

Jumlah nutrien dalam baja organik juga tidak dapat dipastikan secara tetap. Sebagai contoh, najis lembu daripada Ladang A mungkin lebih subur berbanding najis lembu daripada Ladang B walaupun kedua-duanya tetap najis lembu.

 

Baja tidak organik (turut dipanggil sebagai baja kimia atau baja sintetik) dihasilkan melalui tindak balas kimia serta mengandungi mineral atau kimia sintetik. Baja tidak organik juga mengandungi nutrien pada kadar yang tertentu, bersesuaian dengan tujuan baja tersebut digunakan. Contoh baja kimia ialah MOP (Muriate of Potash) dan TSP (Triple Superphosphate). Baja NPK Hijau, Biru dan sebagainya juga merupakan contoh baja tidak organik dan mempunyai unsur Nitrogen (N), Fosforus (P) dan Potassium (K) pada kadar tertentu.

Contoh baja kimia, Muriate of Potash

Contoh baja kimia, Muriate of Potash

Kelebihan baja tidak organik ialah, nutrien yang terkandung dalamnya tersedia dalam bentuk yang dapat digunakan terus oleh tumbuhan. Justeru, pokok dapat menyerap nutrien yang diperlukan serta-merta selepas baja diberikan seterusnya pokok mula menampakkan perubahan dalam beberapa hari sahaja selepas pembajaan.

Selain itu, kadar nutrien yang diketahui dengan jelas pada label baja kimia dapat membantu kita memberikan nutrien yang secukupnya kepada pokok. Jadual dan sistem pembajaan yang tepat dapat dibuat untuk mendapatkan hasil seperti yang dikehendaki. Kelebihan lain baja tidak organik ialah harganya yang lebih murah berbanding baja organik.

Sementara itu, kekurangan baja tidak organik pula ialah ia dihasilkan daripada sumber yang tidak boleh diperbaharui seterusnya memberi kesan jangkamasa panjang kepada alam. Peladang juga tidak dapat menghasilkan sendiri baja kimia menyebabkannya terpaksa sentiasa bergantung dengan sumber luar untuk pembajaan.

Memandangkan baja tidak organik tersedia dalam bentuk yang dapat diserap terus, masalah terlebih baja boleh berlaku seterusnya membunuh tanaman kita. Nutrien dalam baja juga cenderung untuk larut lesap ke dalam tanah sehingga tidak tercapai oleh akar pokok.

Bukan itu sahaja, penggunaan baja kimia secara berterusan berisiko untuk membentuk sisa toksik seperti arsenik di dalam tanah. Penggunaan berterusan juga menyumbang kepada perubahan pH tanah dan memberikan kesan negatif kepada tumbuhan.

 

Penutup

Secara mudahnya, baja organik dan baja tidak organik berbeza dari segi kesannya terhadap alam sekitar khususnya kepada tanah. Tanaman kita tidak dapat membezakan antara baja organik dan baja tidak organik memandangkan nutrien yang diserap oleh tumbuhan ialah pada bentuk yang sama. Namun, baja organik memberi manfaat besar kepada tanah sementara baja tidak organik tidak memberi sebarang kesan baik terhadap tanah.

Pandangan kita terhadap penjagaan alam sekitar membentuk keputusan kita dalam memilih antara baja organik dan tidak organik. Jika kita seorang yang mementingkan kelestarian alam sekitar, baja organik adalah lebih menguntungkan pada jangka masa panjang.

anda tentukan

Secara peribadinya, saya syorkan anda untuk menggunakan kedua-dua jenis baja sekiranya penanaman dibuat untuk mencapai hasil yang tertentu. Gunakan baja organik seiring dengan baja tidak organik untuk mendapatkan hasil yang memuaskan dalam masa yang sama tidak mengabaikan kebajikan tanah.

Bagi anda yang menanam secara kecil-kecilan tanpa tujuan komersial, tidak menjadi masalah untuk anda menggunakan baja organik seratus peratus. Penggunaan baja organik secara berterusan dapat meningkatkan kesuburan tanah dan akhirnya menurunkan kos pembajaan dari masa ke semasa.

Sekian, semoga bermanfaat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Pinterest