Bagaimana Cara yang Betul untuk Membancuh Racun Rumpai?

ernah tak kadang-kadang kita penat meracun, tetapi rumpai (biasanya orang panggil rumput) tak mati-mati? Kalau mati pun, macam segan nak mati. Masih banyak rumpai yang hidup. Pernah kan?

Ada banyak faktor yang mempengaruhi keberkesanan racun rumpai. Kali ini saya akan kongsikan satu faktor sahaja, iaitu kalibrasi semburan (orang putih sebut herbicide calibration). Kalibrasi, apa tu?

Kalibrasi racun rumpai atau makna lainnya penentuukuran ialah perbuatan menentukan berapa banyak jumlah racun rumpai yang perlu dibancuh ke dalam tong racun supaya racun berkesan membunuh rumpai.

Sebenarnya tujuan utama membuat kalibrasi ialah untuk membancuh dengan tepat. Jadi, kalau anda tertanya-tanya bagaimana caranya untuk membancuh racun rumpai dengan betul, kalibrasi ialah jawapannya.

Aik, kan sudah diberikan nisbah bancuhannya pada label tong racun?

Ha… Betul sudah diberikan jumlah racun yang perlu dibancuh pada label botol racun, tetapi kita ada masalah lain. Apa dia? Masalahnya, kadar dan jumlah semburan setiap orang tak sama. Ada orang yang meracun dengan laju, ada orang yang meracun dengan perlahan.

Dengan kata lain, kawan kita mampu meracun satu padang bola dengan satu tong racun, tetapi dengan jumlah racun rumpai yang sama kita hanya boleh meracun satu garaj kereta. Ini contoh saja supaya mudah faham. Perbezaan ini menyebabkan jumlah racun rumpai yang tersebar pada satu-satu kawasan berbeza sama ada lebih banyak racun atau lebih sedikit. Contohnya, kita menggunakan dua botol racun manakala jiran kita menggunakan satu botol tong racun sedangkan keluasan kawasan yang diracun adalah sama.

Kalau kita terlebih menyembur racun, kita rugi sebab terpaksa beli lebih banyak racun rumpai daripada yang sepatutnya. Kalau terkurang pula, rumpai tak mati. Ini pun kita rugi sebab kena meracun lagi sekali.

Emm, setakat ni faham tak? Kalau tak faham tak apa, boleh bertanya di bawah.

Jadi sekarang kita dah faham bahawa setiap orang menyembur jumlah racun yang berbeza. Perbezaan ini disebabkan kadar semburan yang lebih laju atau lebih perlahan. Kadar ini susah nak diubah. Ya lah, orang tu memang menyembur macam tu, ingat senang ke nak diubah?

Apa yang boleh diubah? Haa.. Ubahlah jumlah racun rumpai yang kita masukkan dalam tong racun. Untuk itu, kita perlu buat kalibrasi racun rumpai. Bagaimana caranya? Baca 5 langkah MUDAH di bawah.

 

Kalibrasi Racun Rumpai: 5 Langkah MUDAH

1-Pastikan nozel bersih dan semburan sekata

2-Sembur pada kawasan tertentu.

3-Rekod masa yang diambil untuk sembur kawasan tadi.

4-Ukur jumlah air yang disembur dalam masa tadi.

5-Jom kira berapa banyak racun yang perlu dibancuh.


Konsep asasnya ialah, kita nak tahu jumlah racun yang perlu dibancuh ke dalam tong racun kita. Banyak alternatif yang boleh dibuat untuk membuat kalibrasi racun rumpai. Cara yang saya akan ceritakan ini ialah cara yang mudah untuk dibuat.

Baca huraiannya di bawah:

Langkah 1:

Pastikan nozel (muncung penyembur) bersih, tidak tersumbat atau rosak. Kalau ia rosak, semburan yang dihasilkan tidak sekata dan perlu dibetulkan atau digantikan dengan nozel yang baru. Kemudian, pastikan kita menyembur pada tekanan dan kelajuan yang tetap. Jangan sembur sekejap laju, sekejap perlahan.

Untuk orang islam, boleh guna cara ini; sebutkan subhanallah setiap kali kita mengepam. Selangkan satu pam dengan satu ucapan subhanallah, insyaALLAH kadar semburan kita sekata. Sebutkan dengan tenang supaya tidak terlalu laju. Pastikan juga ketinggian nozel dari tanah adalah sama sepanjang kita menyembur. Jarak yang disyorkan ialah 30 cm dari tanah

Dalam contoh ini, kita gunakan alat penyembur pam galas bersaiz 18 liter (lebih kurang 5 gelen).

 

Langkah 2

Isi air ke dalam pam racun sehingga kira-kira separuh tong. Isi air sahaja tau, jangan tambah racun. Sembur pada kawasan tertentu. Untuk contoh ini saya sembur pada kawasan 10 m x 1m.

kawasan meracun

Cara semburan yang baik sebenarnya ialah menyembur secara lurus tanpa menghayunkan nozel penyembur ke kiri dan kanan. Dengan cara ini, biasanya kita akan menyembur dengan kelebaran 1 meter.

Langkah 3:

Rekodkan masa yang diambil untuk menyembur racun pada kawasan tadi. Buat tiga kali dan ambil kiraan purata. Masa yang diambil ini penting untuk mendapatkan maklumat pada langkah 4 nanti. Dalam contoh yang saya buat masa yang diambil ialah 20 saat untuk kawasan selebar 1 meter dan sepanjang 10 meter.

Langkah 4:

Saya perlu mengukur berapa banyak air yang disembur dalam tempoh 20 saat tadi. Caranya ialah dengan menyembur selama 20 saat ke dalam bekas seperti baldi atau besen dan sukat jumlah air yang disembur. Sukat racun menggunakan alat di bawah atau boleh juga gunakan apa sahaja asalkan kita dapat menyukat jumlah air yang disembur. Dalam contoh saya, saya menyembur sebanyak 500ml dalam masa 20 saat. 

silinder penyukat

Langkah 5:

Ok, jom kira jumlah racun rumpai yang perlu diisi ke dalam tong racun kita.

Dalam kiraan ini, kita hanya perlukan 3 langkah MUDAH:

  • Kira berapa liter air yang kita akan sembur dalam satu hektar (1 hektar = 10 000 m2). Jumlah air yang kita sembur tidak sama dengan jumlah air yang orang lain sembur.
  • Kira jumlah tong pam racun yang kita akan guna.
  • Kira berapa banyak racun yang perlu diisi ke dalam satu tong.

Lihat contoh berikut:

Dalam contoh ini, saya gunakan racun Glyphosate (RoundUp) yang perlu disembur sebanyak 3 liter sehektar (3L/ha). Kadar ini berbeza-beza mengikut jenama racun, sila rujuk label pada botol racun.

LANGKAH 1:

Kita hendak mengira jumlah air yang kita sembur dalam satu hektar (diwakili dengan simbol Y), dengan menggunakan maklumat yang kita ada. Tadi kita sembur sebanyak 0.5L air untuk kawasan seluas 10 m2, berapa liter air kita akan sembur untuk 10 000 m2?

Gunakan formula di bawah untuk mencari jumlah air yang disembur sehektar, Y:

Y = jumlah air yang kita sembur pada kawasan 10 m2 ÷ 10 m2 × 10 000 m2

Y = 0.5L ÷ 10 m2 × 10 000 m2

Y = 500L

Kiraan di atas menunjukkan, kita akan menyembur sebanyak 500 liter air sehektar.

Langkah 2:

Sekarang kita perlu mengira jumlah tong racun yang kita akan gunakan untuk menyembur 500 liter air. Dalam contoh ini, saya menggunakan tong racun 18 liter (kira-kira 5 gelen).

Cara mengiranya, bahagikan 500 liter dengan 18 liter.

500L ÷ 18 L = 27.78 tong racun

Kita memerlukan sebanyak 27.78 tong racun untuk kawasan seluas 1 hektar.

 

Langkah 3:

Inilah saat yang ditunggu-tunggu, iaitu kita akan mengira berapa banyak racun rumpai yang perlu dituangkan ke dalam satu tong racun.

Caranya, bahagikan jumlah racun yang dicadangkan pada label dengan jumlah tong yang kita akan guna. Memandangkan kita menggunakan racun Glyphosate, jumlah racun yang dicadangkan untuk kawasan seluas 1 hektar ialah sebanyak 3 liter (rujuk label pada botol racun).

Kiraannya:

3L ÷ 27.78 = 0.108L

Ini bermakna, untuk satu tong penuh, saya perlu memasukkan sebanyak 0.108 L atau 108 ml racun Glyphosate ke dalamnya.

Alhamdulillah, selesai!


Kesimpulan

Perbezaan kelajuan meracun dan tekanan semburan antara setiap orang menyebabkan jumlah racun yang disemburkan tidak sama. Mungkin lebih, mungkin kurang. Kalibrasi racun rumpai perlu dibuat untuk memastikan jumlah racun yang disembur kepada rumpai adalah seperti yang dicadangkan pada label.

Teknik kalibrasi ada pelbagai, tidak semestinya seperti yang saya tuliskan. Boleh google dengan keyword ‘herbicide calibration’. Teknik ini boleh digunakan apabila kita menyembur racun serangga, baja dan apa-apa jenis semburan yang lain.

Angka yang saya gunakan dalam pengiraan adalah contoh sahaja. Tukarkan dengan angka anda sendiri. Contohnya,saya menyembur 500 ml untuk 10 m2, tetapi anda mungkin menyembur 800 ml untuk 20 m2. Ubah ikut kesesuaian dan keperluan anda selagi ia masih menepati konsep.

Baca artikel ini sekali lagi untuk kefahaman yang lebih baik.

Sekian, semoga bermanfaat.

 

Komen Pembaca

  1. By KAZUAR BIN MOHD ZAINUDIN

  2. By Albert Aloysius Peter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Pinterest