Bagaimana Pokok Getah dan Sawit Dibesarkan daripada Benihnya?

Berikut ialah sedikit ilmu yang dapat saya kutip mengenai nurseri getah dan kelapa sawit, semoga bermanfaat untuk para pembaca ilmutani.com

Tapak Semaian Getah

Industri getah (Hevea brasiliensis) yang memberikan sumbangan besar terhadap ekonomi negara perlu diberi perhatian agar kita dapat terus menjadi salah satu daripada negara pengeluar getah terbesar dunia. Fokus dalam industri ini ialah untuk mendapatkan pokok getah yang sihat, kuat, tahan penyakit dan mampu menghasilkan susu getah yang banyak. Untuk itu klon-klon baru sentiasa dihasilkan untuk menambah baik kualiti susu getah yang dihasilkan.

Dalam hal ini, tapak semaian bertanggungjawab untuk menanam anak pokok getah berkualiti mengikut klon-klon yang dikehendaki oleh pasaran. Para peladang pula akan membeli anak-anak pokok ini untuk ditanam. Untuk mengeluarkan anak pokok getah, sesuatu pihak itu perlu mendapatkan lesen khas yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk memastikan klon-klon getah yang ditanam di seluruh Malaysia adalah dari jenis yang berkualiti.

Proses penghasilan anak pokok getah bermula dari pemilihan biji benih segar yang diambil pada dua musim gugur, iaitu dari bulan Januari ke Febuari dan dari bulan julai ke ogos. Biji benih yang digunakan ialah dari klon-klon yang disyorkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) sahaja. Biji segar ini dicambahkan dalam batas cambahan dan boleh dipindahkan ke dalam polibeg selepas dua minggu.

Biji benih yang telah bercambah ini terus dipindahkan ke polibeg selepas diambil dari batas cambahan. Biji benih ini ditanam pada kedalaman 2 inci di bawah tanah dengan menghadapkan bahagian yang bergaris ke bawah. Saiz polibeg yang digunakan ialah 7cm x15cm dengan ketebalan 0.08mm. Saiz ini dipilih untuk memudahkan penyusunan polibeg (lebar polibeg kecil) dan memberi ruang yang lebih untuk tumbesaran akar (tinggi polibeg 15cm).

Biasanya tanah yang digunakan ialah dari Kelas I atau Kelas II dan dicampurkan dengan debu fosfat. Tanah diisi padat untuk setiap polibeg. Selepas diisi dengan tanah, polibeg akan dihentakkan sedikit ke tanah untuk memampatkannya. Tujuan pemampatan dibuat ialah supaya polibeg dapat disusun dengan stabil dan tidak mudah patah. Polibeg disusun dalam barisan berdua-dua.

Penyiraman dilakukan dua kali sehari dengan menggunakan sistem sprinkler. Setiap sesi penyiraman adalah selama 30 minit. Pada musim yang agak kering, sesi penyiraman dipanjangkan kepada 45 minit setiap sesi. Baja perlepasan perlahan dimasukkan ke dalam polibeg selepas biji benih mula mengeluarkan daun pertama. Kawalan rumpai dalam polibeg pula dilakukan setiap minggu secara manual.

Apabila pokok penanti (yang bercambah dari biji benih tadi) berusia 3 bulan atau apabila mencapai garis pusat 1.25 cm, ia boleh dicantumkan dengan klon-klon yang dikehendaki. Pokok penanti ini hendaklah mendapat baja dan air yang cukup sebelum kerja-kerja mencantum dibuat supaya proses mencantum menjadi mudah dan peratusan berjayanya tinggi.

Mata tunas dari tapak pengeluaran Ranting Tunas Hijau (RTH) akan dicantumkan dengan pokok penanti. RTH ini diambil daripada tunggul pokok getah yang dikhususkan mengikut klon tertentu, yang sentiasa dicantas untuk diambil ranting tunas hijaunya selepas 10 ke 12 minggu dicantas.

Tapak pengeluaran Ranting Tunas Hijau ialah kawasan yang ditanam dengan klon-klon tertentu seperti RRIM 2001 dan RRIM 2025. Klon getah ini ditanam mengikut kelompok dan ditandakan dengan cat pada batangnya untuk memudahkan rujukan. Klon ini dibiarkan besar sebelum dicantas batangnya untuk diambil Ranting Tunas Hijau bagi tujuan cantuman.

Pelajar berpeluang melihat dan mencuba sendiri cara sebenar mencantum mata tunas ke pokok penanti, dengan bimbingan pekerja mahir di situ yang mampu mencantum purata 500 ke 600 pokok sehari. Selepas 21 hari, cantuman yang berjaya akan dipangkas batangnya di atas paras mata tunas, bawah sedikit daripada bekas parut pusaran daun pertama. Pita politin yang digunakan untuk menutup mata tunas dibuang.

Cantuman yang gagal pula boleh diulang pada bahagian yang bertentangan. Jika gagal juga, pokok penanti akan dibuang. Daripada cantuman ini, terhasillah pokok yang mengikut klon mata tunas tadi. Hasil cantuman ini dipanggil Benih Cantuman Muda Polibeg (BCMP).

Selain BCMP, tapak semaian turut mengeluarkan Tunggul Cantuman Polibeg (TCP). TCP dibuat apabila kutipan biji benih semasa musim gugur terlewat dibuat, menyebabkan biji segar tidak dapat diambil. Dalam kes ini, biji benih dibiarkan bercambah sebelum dicabut untuk dipindahkan ke polibeg.

Satu lagi jenis yang hampir sama dengan TCP ialah TCB iaitu Tunggul Cantuman Biasa. Beza antara TCP dan TCB ialah, cantuman untuk TCP dibuat selepas pokok getah dipindahkan ke polibeg manakala cantuman untuk TCB dibuat semasa pokok masih di atas tanah. Cara cantuman dibuat sama dengan cara yang digunakan untuk BCMP.

Untuk TCP dan TCB, anak pokok yang dicabut dipotong akar tunjangnya, akar sisi dan batangnya. Hujung batang yang dipotong akan dicelupkan dengan lilin untuk menghalang pertumbuhan tunas yang tidak dikehendaki.

Tumbesaran TCP dan TCB agak lambat berbanding BCMP. Jadi, untuk membeli benih getah di nurseri, peladang perlu menyemak sama ada ianya TCP atau BCMP. Jika TCP dan TCB yang mahu dibeli, ia hendaklah dipastikan sudah cukup kuat dan sesuai untuk dipindahkan ke tanah. Secara mudahnya, pastikan ia sudah mencapai tahap dua tingkat pusar daun sebelum dibeli dari tapak semaian.

Selepas lawatan di tapak semaian, kami berehat dan menikmati makan tengahari sebelum bergerak ke tapak semaian kelapa sawit FELDA.

 

 

Tapak Semaian Kelapa Sawit

            Kelapa sawit atau Elaeis guineensis mempunyai peranan penting dalam menaikkan ekonomi negara kita. Ia merangkumi 5% daripada nilai eksport Malaysia walaupun ia sebenarnya berasal dari Afrika Selatan.

Pada mulanya, kelapa sawit yang dibawa masuk ke Malaysia ialah dari jenis Dura iaitu yang mempunyai tempurung tebal. Baka ini kemudiannya dikacukkan dengan baka Pisifera menghasilkan buah Tenera. Pokok kelapa sawit jenis Tenera ini mempunyai ketinggian yang rendah dan tandan yang lebih besar, sekaligus memudahkan kerja-kerja di ladang dan meningkatkan produktiviti.

Di Tapak Semaian Sawit FELDA Agricultural Services Sdn. Bhd., benih sawit disemai dalam pasu semaian berwarna hitam dan diletakkan di bawah ruang tertutup. Pasu plastik ini boleh dicantum antara satu sama lain untuk membentuk barisan panjang seperti germinating tray.

Selepas mengisi pasu dengan kompos khas yang diimport, baja perlepasan perlahan jemana Agroblen pula diletakkan ke dalam pasu. Baja ini juga diimport dan cukup untuk tumbesaran anak sawit sehingga dipindahkan ke dalam polibeg. Setiap pokok hanya memerlukan 3 gram baja Agroblen sepanjang tempoh 3 bulan tersebut.

Sistem semaian yang digunakan oleh FELDA di tapak semaian ini ialah sistem baru yang jarang digunakan oleh tapak semaian lain. Dengan menggunakan sistem ini, kadar penakaian (culling rate) dapat diturunkan daripada 9% (sistem biasa) kepada serendah 3%.

Benih kelapa sawit ditanam dengan akar ulungnya menghadap ke bawah. Kedalaman benih ialah kira-kira 1 inci dari paras tanah. Sementara itu, penyiraman anak kelapa sawit dibuat dengan menggunakan sprayer khas yang mengeluarkan kabus air untuk menyiram anak pokok.

Selepas berumur 3-4 bulan, anak sawit dipindahkan ke polibeg yang lebih besar. Sebelum memindahkan anak sawit ke polibeg, proses penakaian (culling) dibuat untuk menyisihkan anak pokok yang tidak berkualiti atau mempunyai masalah. Ini dapat memastikan supaya hanya anak pokok yang benar-benar berkualiti sahaja yang dihasilkan di nurseri tersebut.

Selepas proses penakaian dibuat, anak pokok sawit dipindahkan ke dalam polibeg bersaiz 15 cm x 18 cm dengan ketebalan 0.2 mm. Polibeg ini diisi penuh dengan tanah dan disusun dalam susunan segitiga pada jarak 1m x 1m x 1m.  Lubang pada tanah dibuat di tengah-tengah polibeg        dengan menghentakkan kayu yang ditiruskan hujungnya kepada tanah. Lubang ini kemudiannya diisi dengan baja mikorhiza dan dimasukkan anak pokok ke dalamnya.

Setiap polibeg pokok sawit perlu disiram dengan 1.5 liter air setiap hari. Di tapak semaian ini, pengairan dibuat sebelum jam 11 pagi atau selepas jam 3 petang menggunakan sistem titisan dengan microtube sebagai sistem yang lebih baik berbanding menggunakan sprinkler.

Dengan sistem ini, pembaziran air dapat dielakkan dan gangguan rumpai dapat dikurangkan di samping dapat memastikan semua pokok mendapat bekalan air yang sepatutnya. Walaupun sistem ini memerlukan kos permulaan yang agak tinggi iaitu kira-kira RM50 ribu sehektar, ia sebenarnya sangat menjimatkan untuk jangka masa panjang.

Selepas dipindahkan ke polibeg, anak sawit ini akan dibesarkan selama kira-kira 10 ke 12 bulan sebelum dijual kepada peladang. Sepanjang tempoh tersebut, kerja-kerja penakaian dibuat dari masa ke semasa untuk menyisihkan anak pokok yang bermasalah.

Antara masalah anak pokok yang biasa berlaku ialah daun berputar, daun kerinting, daun bergulung, daun tirus, daun berjalur kuning (chimera), jarak antara daun rapat, pelepah tidak pecah (juvenil) dan pelepah berbentuk tegak.

Satu hektar tapak semaian boleh menghasilkan 12000 pokok sawit dalam tempoh 10-12 bulan. Anak pokok sawit ini kemudiannya dijual pada harga RM5 sepokok.

 

Sekian, semoga bermanfaat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Pinterest