Nak Pilih Racun Rumpai? Baca ini dahulu

Alhamdulillah hari ini dalam makmal saya belajar mengenai racun rumpai. Selama ini tak tahu pun benda-benda ni. Main beli je racun di kedai. Cakap dekat apek tu, “nak beli racun untuk halaman rumah saya”. Lepas tu bancuh secukup rasa, ikut firasat hati. Kalau rumput tak mati, sembur lagi. Habis duit mak saya. Haha.

Sebenarnya, saya tak berapa suka untuk gunakan racun rumpai sebab penggunaan racun akan mematikan tanah. Maklumlah, pencinta alam sekitar. Hehe. Tapi dalam industri pertanian, racun rumpai merupakan kaedah yang paling biasa digunakan untuk mengawal rumpai. Ada banyak kaedah lain yang boleh digunakan, tapi penggunaan racun ialah jalan paling pantas dan mudah untuk mengawal rumpai. Apa-apa pun, seboleh mungkin elakkanlah daripada menggunakannya.

Rumpai secara ringkasnya ialah tanaman yang tidak ditanam, tidak dikehendaki dan hanya buat semak saja tumbuh meliar dalam kawasan tanaman kita. Ada banyak masalah yang rumpai bawa kepada industri pertanian walaupun tak dinafikan bahawa rumpai mempunyai fungsi dan kelebihannya yang tersendiri.

 

Eh, apa beza rumpai dengan rumput? Ada bezanya, tapi orang kampung macam saya ni biasanya panggil rumput saja semuanya. Nantilah saya tulis lagi. InsyaAllah saya akan bercerita panjang mengenai rumpai dalam artikel lain. Artikel ini untuk racun rumpai sahaja. Update: Apa beza rumput dengan rumpai?

Secara umumnya, di seluruh dunia kos untuk racun rumpai merangkumi kira-kira 40% kos kawalan perosak (pest). Secara tak langsung, perbelanjaan untuk racun rumpai agak besar dan sebarang kesilapan boleh menyebabkan kerugian kepada peladang. Contohnya, si peladang tadi tersilap beli racun dan rumpai di ladangnya langsung tak terkesan dengan racun yang digunakan. Kan dah rugi tu.

Ok, ini ialah beberapa perkara yang perlu kita tahu
untuk memilih racun rumpai yang sesuai dengan keperluan kita:

Pertama: Nama racun

Kita perlu tahu nama racun yang mahu diguna supaya mudah untuk membelinya pada masa akan datang. Mana nak tahu nama racun ni? Mudah saja, tanya salesman kedai tu. Hehe. Ataupun, lihat saja label di botol racun. Tulisan yang paling besar itulah namanya. Contohnya dalam gambar ini, nama racun ini ialah Bastura 600.racun rumpaiKadang-kadang, racun yang kita cari tidak ada di kedai. Jika situasi ini berlaku, jangan panik! Hehe. Tarik nafas panjang, kemudian lihat pada bahagian yang tertulis “perawis aktif”, yang dalam kata lain, ialah bahan aktif. Dalam contoh di atas, bahan aktif bagi Bastura 600 ialah ‘2,4-D dimethylamine’. Menurut label ini, kandungan bahan aktif dalam racun tersebut ialah sebanyak 60%. Bahan aktif inilah yang akan bertindak balas dengan sel-sel rumpai dan membunuhnya.

Penting untuk kita tahu bahan aktif yang macam mana yang kita perlu guna sebab kadang-kadang, jenama yang kita nak tu tak ada di kedai. Contohnya, kawan kita cadangkan untuk guna racun ‘RoundUp’, tapi taukeh kedai kata stok RoundUp habis. Maka, kita boleh cari racun lain yang ada bahan aktif yang sama seperti ‘RoundUp’ tadi, iaitu glyphosate. Racun yang mengandungi glyphosate biasanya lebih mahal sebab ia berupaya untuk membunuh hampir semua jenis rumpai dan lebih tahan lama.

Kalau kita tak tahu rumpai jenis apa yang kita nak bunuh, taukeh kedai biasanya suruh beli RoundUp saja. Untung taukeh. Haish, kalaulah kita tahu nak guna racun apa, kan jimat sikit duit.

Kedua: formula. 

Eh, baru saya perasan penerangan mengenai bahagian formula agak panjang dan tidak berapa penting untuk pengguna skala kecil. Tetapi, jika ada yang ingin tahu lebih lanjut mengenainya khususnya para pelajar, boleh baca maklumat DI SINI. Ia ditulis dalam bahasa Inggeris.

Jika merujuk kepada gambar di bawah, bahagian yang saya bulatkan merah itulah formula yang saya maksudkan iaitu ‘pekatan larut air (SL)’

racun rumpai

Ketiga: Kesan terhadap tumbuhan.

Secara ringkasnya racun dapat dibahagikan kepada racun sentuh dan racun serap. Orang kampung macam saya biasanya panggil racun Paraquat untuk racun sentuh dan racun RoundUp untuk racun serap.

Racun Sentuh. 

Bahan aktif dalam racun sentuh biasanya ialah Paraquat dichloride. Antara jenama racun Paraquat ialah Gramoxone dan Ken-Tec. Ada juga yang panggil racun ini racun kopi-O. Kesan racun sentuh kepada tumbuhan ialah, ia hanya membunuh bahagian rumpai yang terkena racun dan sangat kurang atau langsung tidak menyerap ke bahagian akar.

Racun jenis sentuh membunuh rumpai dengan cepat, sehinggakan dalam masa beberapa jam sahaja kita sudah boleh tersenyum melihat kesannya. Sesuai digunakan jika kita mahu kesan yang cepat dan jika takut hujan turun. (Kalau hujan turun, habislah racun kita. Tak sempat rumpai tu nak mati).

Kelemahan racun jenis sentuh ialah, rumpai akan cepat tumbuh semula, dan kita kena meracun semula lebih kurang 3 bulan lepas meracun.
Kena rajin meracunlah jawabnya. Lagi satu, lalang dan adik-beradiknya tak sesuai dibunuh dengan racun ini kerana rumpai jenis ini mempunyai sulur bawah tanah yang mampu tumbuh semula. Apabila hanya daunnya sahaja yang dibunuh, ia boleh naik semula dengan mudah.

Racun Serap.

Racun serap dipanggil juga dengan nama racun sistemik. Sepertimana namanya, racun serap akan menyerap hingga ke akar rumpai untuk membunuhnya. Jadi, rumpai yang dibunuh akan mengambil masa yang lama untuk tumbuh semula.

Kelemahan racun jenis ini ialah, masa untuk menunggu rumput mati sepenuhnya agak lama, sempat kita tanam jagung belakang rumah. Haha. Paling cepat SEMINGGU baru kita nampak kesannya. Tapi kesannya bertahan lama, berbulan-bulan lamanya. Kita hanya perlu meracun dua kali sahaja setahun dengan racun jenis sentuh ini.

Lagi satu kelemahan racun ini, kalau hujan turun dalam beberapa jam selepas kita meracun, peratusan rumpa yang mati ialah rendah kerana racun tadi dihakis oleh air hujan sebelum sempat ia menyerap ke dalam rumpai. Untuk atasi masalah ini, bahan yang dipanggil ‘adjuvant’ perlu ditambah ke dalam racun serap. Lain kali kita cerita tentang adjuvant.

Oh ya, jangan gunakan racun ini di kawasan penanaman sayuran sebab racun ini berupaya menjejaskan tanaman sayuran kita. Kalau mahu guna juga, sembur dengan berhati-hati dan sembur serendah mungkin. Ini pensyarah sayalah yang beritahu.

Macam mana nak tahu racun itu racun sentuh atau racun serap?

Mudah saja, lihat bahan aktifnya. Racun sentuh biasanya mengandungi bahan aktif paraquat. Selain daripada itu biasanya ialah racun serap. Lihat label di bawah, frasa ‘bertindak secara sistemik’ menunjukkan bahawa Racun Chopper 100 ialah dari jenis racun serap. Lebih mudah lagi, tanya saja si penjual, tapi pastikan si penjual memang mahir dan tahu tentang racun yang dijualnya.

racun rumpai chopper

Keempat: Selektif atau tidak

Ada racun yang selektif, ada racun yang tidak selektif. Maksud racun selektif ialah, racun tersebut hanya membunuh beberapa jenis rumpai. Bahan aktif 2,4-D misalnya khusus untuk membunuh rumpai jenis berdaun lebar (broadleaf) seperti racun Bastura 600 tadi yang hanya membunuh rumpai berdaun lebar. Maknanya kalau sembur racun itu pada padi, padi tidak mati. Yang mati hanya rumpai berdaun lebar.

Racun yang tidak selektif seperti Paraquat ( dari kumpulan racun sentuh) dan Glyphosate (racun serap) pula membunuh semua jenis rumpai. Selain daripada dua bahan aktif ini biasanya ialah racun jenis selektif.

Pokoknya, kalau kebun atau ladang anda dipenuhi oleh rumpai tertentu, gunakanlah racun jenis selektif. Kalau tak mahu fikir banyak atau terdapat pelbagai jenis rumpai pada kebun anda, gunakan saja racun jenis tidak selektif. Kasi mati semua rumpai. Haha.

Jenis rumpai yang dibunuh oleh racun disenaraikan pada label racun seperti yang ditunjukkan pada gambar di bawah dan biasanya ditetapkan untuk kawasan penanaman tertentu. (Klik gambar untuk lihat dengan jelas)

racun rumpai

Bastura 600

Lagi satu, ada racun yang dikhususkan untuk kawasan tanaman tertentu. Seperti racun Bastura dalam gambar di atas, ia sesuai digunakan pada kawasan sawit, getah, padi dan tebu.

Kelima: Kegunaan

Alamak, dah mula penat menaip. Hehe.

Ok, bahagian kegunaan ni saya bahagikan kepada dua, iaitu pra-cambah dan pasca-cambah. Racun pra-cambah ialah racun yang digunakan untuk membunuh rumpai sebelum ia tumbuh lagi. Maksudnya, kita bunuh biji benih rumpai tersebut supaya ia tak bercambah.

Pelik tetapi benar, dalam tanah kita boleh tersimpan berjuta-juta biji benih rumpai dan ada sesetengah biji benih yang mampu bertahan sehingga 30 tahun di dalam tanah! Racun pra-cambah digunakan semasa menyediakan kawasan penanaman, di mana kita belum lagi menyemai pokok tanamandi atas tanah.

Racun pasca-cambah pula ialah racun yang digunakan untuk membunuh rumpai yang sudah tumbuh.
Ala, yang selalu kita guna tu.

Keenam: Penggunaan

Untuk penggunaan racun pula, rujuk pada label yang dilekatkan pada botol. Maklumat mengenai cara menggunakan racun ada dituliskan di situ merangkumi nisbah bancuhan, cara menyembur, jenis penyembur yang digunakan, dan sebagainya.  Di bawah ialah antara aturan penggunaan yang terdapat pada label racun.

Bastura racum rumpai

Bastura 600

Chopper 100 racum rumpai

Chopper 100

Untuk permulaan, bancuhlah menggunakan dos yang ditulis pada label botol. Tetapi lama kelamaan rumpai boleh menjadi kebal terhadap racun. Jadi, boleh tingkatkan kepekatan bancuhan atau tambah bahan lain yang disyorkan oleh kawan-kawan. Biasanya pelik-pelik bahan yang dicampurkan, tetapi berkesan! Haha

Ketujuh: Langkah keselamatan

Haa, dalam syok meracun langkah keselamatan jangan diabai. Banyak langkah-langkah keselamatan yang kita sendiri boleh fikir seperti jangan ditelan, jangan bagi budak-budak dan sebagainya. Yang ni kita sudah tentu kena patuh. Orang jawa kata, common sense lah. Haha, gurau je. Orang jawa sekarang kan pandai cakap inggeris.

Namun, di samping arahan ‘common sense’ tersebut, ada juga arahan keselamatan yang khusus untuk racun tertentu sahaja. Contohnya, kita dilarang untuk masuk ke kawasan semburan dalam masa 12 jam selepas semburan racun Chopper 100, tetapi untuk racun Bastura 600 kita dilarang untuk masuk dalam masa 24 jam selepas semburan. Arahan khusus seperti ini ada ditulis pada label racun.

Nota tambahan: Kelas racun 

Akhirnya, nota ini sudah sampai ke penghujung. Yeay.

Ok, kelas racun ada 4. Tak tahulah kalau ada yang kelima. Kelas racun yang paling toksik ialah kelas 1b (ini racun serangga kalau tak salah) dan yang paling kurang toksik ialah kelas 4. Kelas racun juga ada ditulis pada label botol.

Kelas racun juga boleh dibezakan dengan manggunakan warna.
Warna hitam ialah yang paling  berbahaya, diikuti oleh warna merah (kelas 1b),
warna kuning (kelas 2), biru (kelas 3) dan putih (kelas 4).

Kenapa kita perlu tahu kelas racun ini? Haaa, untuk membunuh lah apa lagi. Hehe.
Kalau berurusan dengan racun kelas 1 atau 2, kita kenalah lebih berhati-hati. Hakikatnya kita memang perlu berhati-hati dengan semua jenis racun.

Penafian

Walaupun saya sudah mencuba seboleh mungkin untuk menyediakan maklumat yang tepat, tetapi tulisan ini masih belum boleh dianggap sebagai panduan mutlak. Kalau anda ikuti apa yang saya tulis, itu atas risiko sendiri. Jangan saman saya… Lari. Haha. Dapatkan nasihat pakar kalau kawalan rumpai anda melibatkan perbelanjaan yang besar.

Pada saat artikel ini ditulis saya hanyalah seorang mahasiswa Universiti Putra Malaysia. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Saya tulis apa yang saya tahu saja dan sudah tentu pengetahuan saya amat terbatas. Saya sangat mengalu-alukan teguran membina dan cadangan penambahbaikan daripada pembaca budiman sekalian.  Terima kasih :)

Sekian, semoga bermanfaat.

Komen Pembaca

  1. By jerung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Pinterest