Perbezaan Klon, Hibrid, Varieti dan Kultivar.

Pernah dengar perkataan-perkataan ni?

Kita biasanya main taram je guna perkataan ni. Kita sangka maksudnya sama tapi sebenarnya setiap perkataan tu berbeza rupa-rupanya.
1) Klon.

Klon ialah pembiakan secara tampang (aseksual). Maksudnya, pokok yang dibiakkan tanpa melibatkan persenyawaan genetik diberi nama klon.

Contohnya klon Musang King. Musang King dihasilkan tanpa menggunakan biji benih Musang King itu sendiri. Sebaliknya, pucuk atau tunas pokok Musang King dicantumkan dengan sebatang pokok penanti untuk menghasilkan pokok Musang King baru yang 100% sama dengan pokok induk.
Contoh lain ialah klon orkid. Tisu daripada pokok orkid terpilih diambil dan dibiakkan dalam medium khas untuk menghasilkan ribuan pokok baru yang sama ciri-cirinya dengan orkid asal tadi.

 

2) Hibrid

Hibrid merupakan hasil daripada persenyawaan seksual daripada dua tumbuhan induk. Bunga jantan daripada pokok A dikahwinkan dengan bunga betina daripada pokok B, menghasilkan benih baru yang dipanggil pokok BA.

Contoh pokok hibrid di Malaysia ialah kelapa sawit Tenera (terhasil daripada varieti Dura dan Pisifera) dan kelapa Matag (terhasil daripada kacukan varieti Malayan Dwarf dengan Tagnanan Tall)

Hibrid membawa ciri-ciri daripada kedua-dua pokok induk tadi. Pokok hybrid yang terhasil ini dipanggil dengan nama Hibrid F1, maksudnya ia generasi pertama daripada penyatuan dua induk tadi. Hibrid F1 ini jika berbuah dan menghasilkan benih, benih itu pula ditanam, ia tidak akan sama dengan pokok induknya.

 

Pernah tak tuan puan beli benih sayur di kedai, ada label Hibrid F1 padanya? Saya bagi contoh benih bendi. Benih yang tuan puan beli tu bila ditanam, semua pokok bendi tu pendek dan cepat berbuah. Banyak pula tu buahnya.

Tapi, bila buah bendi ni kering, kita ambil benihnya dan tanam, pokoknya tinggi pula. Ada pula pokok yang rendah dan berbuah cuma sikit.

Sebab itu harga benih hybrid mahal. Nak buatnya bukan mudah, kita perlu pilih bunga dari pokok tertentu dan kahwinkan dengan bunga dari pokok terpilih. Sebab itu juga bila kita tanam benih hybrid, kita perlu beli benih baru untuk musim penanaman seterusnya. Benih yang ada tidak boleh dikitar semula jika mahu hasil yang sama.

 

3) Varieti

Varieti dalam bahasa mudahnya pokok yang berlainan jenis. Varieti ialah kepelbagaian jenis pokok dalam spesis yang sama. Sebagai contoh padi. Nama saintifik spesis padi ialah Oryza sativa, tapi Oryza sativa ni ada banyak varieti. Ada padi yang panjang, ada yang pendek, ada yang banyak hasil ada yang sikit hasil. Macam-macamlah. Jenis yang pelbagai inilah yang dipanggil varieti. Varieti A, Varieti B, Varieti C. Kalau varieti ini dibiakkan secara tampang, kita panggil dia Klon pula. Klon A, Klon B, Klon C.

 

4)Kultivar

Kultivar tak jauh bezanya dengan varieti sebab perkataan kultivar berasal daripada ‘cultivated variety’. Maksudnya, varieti yang ditanam. Ha gitu..

 

Jadi sekarang kita dah faham apa bezanya, terserahlah untuk kita amalkan atau tak. Mungkin kita masih lagi taram semacam je penggunaan perkataan-perkataan ni, tapi sekurang-kurangnya kita mesti faham apa bezanya supaya kita tidak ditipu oleh mereka yang mahu menipu. Hahaha.

Sekian, semoga bermanfaat.

Komen Pembaca

  1. By zul

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Pinterest