Pertanian dari perspektif seorang pelajar

Assalamualaikum dan salam sejahtera warga Ilmutani.com. Salam perkenalan.

 

Dalam post kali ini saya ingin mengalihkan pandangan warga Ilmutani terhadap suatu isu yang secara tidak langsung berkait dengan pertanian.

Bukanlah satu penafian jika saya katakan bahawa sektor pertanian di Malaysia tidak dipandang tinggi berbanding sektor-sektor lain seperti perindustrian dan perkhidmatan. Pengajian dalam bidang pertanian juga dianggap tidak mempunyai masa hadapan yang cerah bagi anak muda. Saya sifatkan keadaan ini berlaku disebabkan oleh dasar ekonomi negara yang berubah ketika era Revolusi Perindustrian semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamed. Ketika itu, Malaysia mula mengubah sudut pandangan terhadap sektor pertanian dan menganggap pertanian tidak membawa keuntungan yang besar kepada negara demi berada seiring dengan negara lain.

 

25 September 2015. Saya terlibat dalam program International Students Summit (ISS 2015) di Tokyo University of Agriculture, Jepun. Program ini menghimpunkan 39 pelajar dari 26 negara di serata dunia untuk membincangkan isu makanan, pertanian dan persekitaran. Sesi pembentangan projek setiap pelajar berlangsung pada 1 – 2 Oktober 2015. Hari-hari lainnya kami membincangkan isu dalam kategori kumpulan masing-masing seperti Food Security, Agriculture, Education dan Community Development.

 

Hari ini, 4 Oktober 2015 merupakan hari terakhir saya di tanah matahari terbit ini. Pengalaman ini sememangnya amat bermakna bagi saya. Perkenalan dengan pelajar-pelajar dari serata dunia membuka mata saya tentang kepentingan pertanian itu sendiri. Pertanian di negara lain tinggi tarafnya dan dianggap sebagai sumber makanan yang amat penting.

 

Saya dapat simpulkan bahawa pembentangan projek oleh pelajar-pelajar ini (termasuk saya sendiri) memberi satu makna. Pertanian dari sudut penglibatan pelajar dengan aktif dapat mengubah persepsi masyarakat Malaysia terhadap pertanian amnya. Saya percaya pelajar-pelajar pertanian di serata Malaysia juga merasakan perkara yang sama.

International Students Summit kali ini tiba ke satu persetujuan bahawa penglibatan pelajar perlu memahami bidang pertanian itu dari perspektif petani sendiri. Pelajar perlu bersama-sama menunjukkan minat untuk belajar, bukannya untuk mengubah cara pertanian itu dijalankan oleh seseorang petani secara keseluruhan, contohnya. Saya nyatakan sebaris ayat daripada skrip rasmi sesi perbincangan akhir ISS 2015 iaitu “Students should approach farmers as a learner, not as an expert and we should show empathy to them”.

 

Sejujurnya, saya tidak sabar untuk berkongsi serba sedikit ilmu yang saya kutip dari ISS 2015 ini bersama rakan-rakan. Saya juga ada berfikir tentang kesinambungan projek yang saya bentangkan dan jika tiada aral melintang, dengan izin Allah akan saya laksanakan. Alangkah bagusnya jika pelajar-pelajar pertanian mempunyai suatu gerakan yang aktif dalam membicarakan bidang pertanian di Malaysia dan seterusnya dapat mengubah persepsi ortodoks yang berkaitan.

Penulis bersama ahli kumpulan Session 3.1 Education

Penulis bersama ahli kumpulan Session 3.1 Student Actions in the Field of Education

Siti Zuriani Zakaria

Tahun Ketiga Bacelor Sains Pertanian UPM

4 Oktober 2015

Tokyo, Jepun.

Jemput like page IlmuTani.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Pinterest