Proses terjadinya anak ayam.

Setiap kali makan ayam atau telur, saya tidak berfikir mana satu yang datang dulu, tapi saya selalu berfikir betapa berkuasanya Allah mencipta seekor ayam.

Daripada sebiji telur dengan cecair kuning dan jernih, Allah keluarkan seekor anak ayam yang lengkap daripadanya. Telur yang asalnya cecair ini bertukar menjadi anak ayam yang ada daging, ada tulang, ada bulu. Bernyawa pula tu!

Alhamdulillah semester lepas saya belajar tentang bagaimana ayam terhasil, dan akan berkongsi sedikit dengan anda apa yang saya belajar.

Proses Penghasilan Telur Dalam Badan Ayam

Ok kita mulakan dengan proses penghasilan telur dalam badan ayam betina, dengan merujuk kepada gambar berikut:

sistem-peranakan-ayam

Semasa mengawan, sperma ayam jantan akan disimpan dalam kelenjar khas pada saluran pembiakan ayam betina. Sperma ini mampu terus hidup dalam badan ayam betina selama 10 ke 14 hari, yang merupakan salah satu keistimewaan haiwan jenis burung.

 

Bekalan sperma inilah yang akan digunakan untuk bersenyawa dengan telur-telur ayam betina. Setiap kali ayam betina menghasilkan sebiji telur, kelenjar ini melepaskan sedikit sperma yang akan berenang menuju ovari untuk penghasilan telur seterusnya.

Sebut tentang ovari, kebanyakan ayam hanya mempunyai satu sahaja ovari yang berfungsi, iaitu ovari di sebelah kiri. Ovari ayam telah lengkap terbentuk sejak saat ayam menetas lagi, namun ia kekal kecil (sangat kecil) sehinggalah ayam itu mencapai kematangan seksual. Dalam ovari ini pula tersimpan berpuluh ribu telur (bersaiz satu sel).

Apabila ayam betina dewasa, telur-telur ini (dipanggil sebagai ovum) dibaluti dengan bahan berwarna kuning. Satu ovum untuk satu kuning telur. Sebenarnya warna kuning pada telur ini disebabkan oleh kehadiran pigmen bernama xanthophyll yang ada dalam makanan ayam. Maknanya, warna kuning telur ini dipengaruhi oleh diet ayam tersebut. Contohnya kalau ayam banyak makan jagung kuning, pekatlah warnanya.

Setiap hari, sebiji bebola kuning akan ‘disedut’ oleh bahagian bernama infundibulum. Kuning telur ini akan berada di situ selama kira-kira 15 ke 17 minit. Pada bahagian ini jugalah jika terdapat sperma daripada ayam jantan, persenyawaan akan berlaku.

Kalau ayam tadi tidak mengawan dengan mana-mana ayam jantan, tiada persenyawaan akan berlaku, tapi ayam akan tetap menghasilkan telur. Telur yang tidak melalui persenyawaan ini tidak akan menetas kalau kita eramkan. Patutlah masa kecil-kecil dulu, saya cuba eramkan telur yang dibeli di kedai, tidak menjadi!

Seterusnya kuning telur akan bergerak dalam bahagian bernama magnum. Seperti namanya yang bermaksud ‘besar’ dalam bahasa Latin, bahagian ini merupakan bahagian yang paling besar dalam saluran reproduktif ayam. Telur akan berada dalam bahagian ini selama 3 jam di mana penambahan bahagian putih telur pula akan berlaku.

Kuning telur lengkap bersalut putih telur ini akan bergerak pula ke isthmus, bahagian saluran yang agak kecil. Ia berada di sini selama 75 minit. Di isthmus inilah membran halus yang menyaluti telur terbentuk. Perasan kan lapisan warna putih yang ada antara telur putih dengan kulit telur? Di sinilah ia terhasil. Walaupun nampak macam satu lapisan, sebenarnya ia terdiri daripada lapisan dalam dan lapisan luar.

Selepas isthmus, telur bergerak pula ke shell gland. Inilah bahagian yang paling lama dalam penghasilan telur, di mana masa yang dihabiskan ialah kira-kira 20 jam atau lebih. Di sini, kulit telur yang keras dihasilkan daripada kalsium.

Ayam akan mengambil bekalan kalsium dalam tulangnya untuk membuat kulit telur. Kalsium daripada tulang ini membekalkan 47 peratus daripada jumlah kalsium yang diperlukan untuk menghasilkan kulit telur, manakala selebihnya dibekalkan melalui makanan ayam.

Sebab itu kalau makanan yang diambil oleh ayam kurang kandungan kalsium, kulit telurnya tak berapa kuat. Tak cukup sebenarnya kalau kita Cuma bagi jagung je untuk ayam kita. Pelbagaikan sumber makanan dia. Sesetengah orang, dibaginya ayam tu makan kulit telur untuk dapatkan bekalan kalsium.

Tapi kaedah bagi makan kulit telur ni ada kelemahan dia. Ayam boleh jadi ketagih dengan rasa kulit telur yang sedap dan akhirnya makan telur kawan-kawan sendiri. Untuk mengelakkan masalah ketagihan ni, kulit telur perlu dibakar dalam oven terlebih dahulu untuk menghilangkan perisa telur tu.

 

Selepas itu,telur akan bergerak ke vagina seterusnya ditembak keluar. Oh ya, semasa dalam saluran, bahagian telur yang tirus akan menghadap ke luar, namun ia akan dipusingkan dalam vagina dan sebaik saja ia keluar, bahagian yang rata yang keluar dahulu.

Tempoh penghasilan sebiji telur mengambil masa antara 25 ke 26 jam. Kira-kira setengah jam selepas itu ovum baru pula dilepaskan, satu proses yang dipanggil sebagai ovulasi. Proses ovulasi biasanya hanya berlaku pada waktu siang, sebelum pukul 3 petang. Jika ayam bertelur terlalu lewat melepasi pukul 3, proses ovulasi seterusnya akan berlaku keesokan hari. Sebab itu semasa ayam bertelur, ada satu atau dua hari yang ia ‘bercuti’ daripada bertelur.

 

Proses penetasan telur

Ok habis bab bertelur. Kita masuk bab menetaskan telur pula. Telur ayam memerlukan suhu dan kelembapan yang sesuai untuk menetas menjadi seekor ayam. Keperluan suhu dan kelembapan ini pula berubah mengikut tahap pembentukan telur.

Proses pembentukan telur menjadi seekor ayam boleh dibahagikan kepada dua. Fasa 18 hari pertama ialah fasa pengeraman manakali 3 hari seterusnya ialah fasa penetasan.

Suhu yang diperlukan pada fasa pertama ialah 37.5°C manakala untuk fasa kedua ialah antara 36.7°C hingga 37.2°C. Suhu yang lebih tinggi atau rendah akan mengganggu proses pembentukan anak ayam dan boleh menyebabkan kematian embrio (anak ayam) yang sedang terbentuk. Kalaupun ayam selamat menetas ia biasanya lemah dan tidak sihat.

Kelembapan pula diukur dengan sensor khas dalam unit % RH. Untuk fasa pertama kelembapan yang diperlukan ialah 50 ke 60 % RH manakala untuk fasa kedua 65 ke 70 peratus.

Kelembapan yang lebih tinggi akan menjadikan wap air yang dihasilkan oleh embrio terperangkap di dalam telur dan melemaskan embrio itu sendiri. Alah kan bila kita bernafas kita mengeluarkan air daripada badan. Samalah ceritanya dengan embrio ayam.

Kelembapan udara yang terlalu rendah pula menyebabkan air keluar daripada telur dengan lebih cepat. Maka kekurangan airlah si anak ayam tu dan sama juga, anak ayam yang dihasilkan akan kurang berkualiti.

Struktur Dalaman Telur Ayam

gambar-rajah-telur-ayam

Telur ayam yang kita hanya nampak sebagai cecair kuning dan putih tu sebenarnya terdiri daripada beberapa bahagian berbeza yang mempunyai fungsi masing-masing. Kita mulakan dari bahagian atas. Di bahagian atas telur ada ruang udara (air cell) yang saya tak faham sangat apa fungsinya. Setakat yang saya faham, fungsinya untuk anak ayam bernafas.

Seterusnya terdapat chalaza yang memegang kuning telur supaya tidak berpusing pusing. Kuning telur (yolk) dan putih telur (albumen) pula membekalkan keperluan makanan dan air bagi embrio yang sedang membesar. Embrio pula terbentuk pada germinal disc jika berlaku persenyawaan antara benih ayam jantan dan betina.

Susunan Telur

Semasa fasa pengeraman, telur perlu disusun menegak dengan hujung telur yang lebih besar berada di atas. Alasannya, pada bahagian yang lebih besar ini terdapat ruang udara untuk pernafasan anak ayam.

Anak ayam biasanya menetas dalam keadaan kepalanya berada di bahagian telur yang paling atas. Apabila telur disusun terbalik (hujung telur yang tirus di atas), anak ayam tidak dapat bernafas dengan baik dan memungkinkan ia untuk gagal menetas. Kalau ia menetas juga, anak ayam yang terhasil kurang berkualiti.

Walaubagaimanapun, telur-telur ini disusun menegak semasa fasa pengeraman sahaja. Semasa fasa penetasan, telur ayam boleh dibiarkan terbaring.

Penetasan Anak Ayam

Telur ayam mengambil masa kira-kira 21 hari untuk menetas. Kalau lebih dari itu dan telur masih belum menetas, buang sajalah telurnya. Telur sudah pun rosak.

Sebaik sahaja anak ayam bersedia untuk keluar, ia akan mula meretakkan kulit telurnya. Tempoh yang diambil untuk anak ayam benar-benar keluar daripada kulit telur boleh mencecah 24 jam.

Dalam tempoh ini, jangan cuba-cuba membantu ia keluar dari cengkerang telurnya. Walaupun nampak macam kesian dia bersusah payah untuk keluar, biarkan saja. Mak ayam pun akan biarkan anaknya keluar sendiri tanpa dibantu kerana proses itu sebenarnya merupakan latihan bagi anak ayam untuk menguatkan otot-ototnya.

Apa jadi kalau kita bantu, contohnya kita buka kulit telur tu dengan tangan sendiri? Ayam akan lemah dan tidak mampu bertahan lama. Sekejap lagi matilah dia. Umpama budak yang belum pandai merangkak sudah disuruh berlari.

Penutup

Haa, habis dah cerita tentang kejadian anak ayam.  Sebenarnya cerita dia banyak lagi tapi ini saja yang mampu saya kongsikan kerana saya pun kurang tahu. Begitulah, dalam sesuatu benda yang nampak ringkas, terselit pelbagai proses kompleks yang cukup cantik Allah aturkan.

Lalui setiap proses dalam kehiodupan kita dengan penuh kesabaran dan ketekunan. Kejayaan tidak datang bergolek dalam satu malam kerana sesungguhnya ayam sendiri memerlukan 21 hari untuk menetas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Pinterest