Rahsia Penorehan Getah yang Tak Ramai Orang Tahu

Yeay! Seronoknya saya harini. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Kenapa saya seronok? Sebab harini saya dapat menoreh! Yalah, bukan selalu dapat peluang macam ni. Ni first time saya dapat toreh pokok getah walaupun saya duduk kampung. Maklumlah, menoreh ni bukan boleh sebarang-sebarang. Silap toreh, pokok rosak. Kalau main toreh je pokok orang, silap haribulan kita yang kena toreh! Haha.

Di ladang UPM ni, ada kawasan yang dipanggil sebagai kawasan Torehan Parah, di mana pokok-pokok di situ dikhaskan untuk pelajar-pelajar mencuba aksi menoreh pokok getah. Memang parah pokok-pokok tu dikerjakan dek budak-budak. Sayalah tu!

Tarmizi menoreh - Copy

Budak baru belajar menoreh. Haha

Macam biasa pagi ni saya ada kelas Amalan Ladang: Tanaman Perladangan. Pagi ni kami belajar tentang torehan getah. Cara-cara menoreh, teknik banyakkan susu getah, dan macam-macam lagi. Saya kongsikan dalam blog ini, mudah-mudahan pembaca dapat mengambil manfaat dan aplikasikan dalam kebun masing-masing.

Ok, mula-mula sekali tentang umur pokok. Kalau diikutkan, pokok getah boleh mula ditoreh pada tahun kelima. Sejak usia 5 tahun pokok boleh ditoreh sehingga mencapai usia 25 tahun. Lepas 25 tahun, tebanglah pokok tu ganti pokok baru. Batang pokok yang sudah ditebang boleh dijual sebagai balak untuk dijadikan perabot getah.

Pokok-pokok yang berusia 5 tahun ni, tak boleh terus ditoreh. Kita kena tengok ukur lilit batangnya dahulu. Ukur lilit batang getah mestilah melebihi 45 cm, baru boleh ditoreh.

Kenapa? Saya lupa… hehe. Rasanya sebab pokok belum bersedia untuk ditoreh. Apa jadi kalau kita belum bersedia tapi sudah dipaksa berkahwin? Mesti ada masalah akan timbul. Macam itu juga pokok getah, tunggu saja ukur lilit batangnya melebihi 45 cm barulah ditoreh.

Mengukur ukurlilit pokok dengan menggunakan pita ukur

Mengukur ukurlilit pokok dengan menggunakan pita ukur. Banyak lagi cara lain yang boleh digunakan, bergantung kepada kreativiti dan apa yang ada di tangan.

Selain itu, kita perlu memastikan sekurang-kurangnya 70% daripada pokok-pokok getah di situ sudah mencapai ukur lilit yang dikehendaki. Kenapa? Yalah, kan penat kalau kita berjalan jauh-jauh dalam ladang semata-mata untuk menoreh beberapa pokok getah. Jadi, tunggu sehingga 70% daripada pokok di situ boleh ditoreh, barulah kita mula membuka Panel Torehan.


Eh, Panel Torehan? Apa tu? Panel Torehan ialah tanda awal yang kita buat di pokok sebelum mula menoreh. Ala,macam buat lakaran gitu. Kita akan buat tanda di batang pokok dengan menggunakan pisau torehan tanpa mengeluarkan getah dari batang pokok. Tanda ini akan menunjukkan berapa sudut dan berapa panjang torehan kita akan buat.

membuka tapak torehan

Cara membuka tapak torehan. Video penuh di https://www.youtube.com/watch?v=sVayN0P4DY8

Anda boleh lihat cara membuka panel torehan dalam video di atas. Ada beberapa kesilapan yang dibuat oleh penoreh dalam video. Pertamanya, torehan dibuat terlalu tinggi. yang sepatutnya, torehan dimulakan pada jarak 150cm dari tanah untuk pokok getah BCMP dan 75 cm untuk pokok getah klon biji. BCMP? Klon Biji? Apa tu? Hehe, sabar.. Saya huraikan nanti.

Yang keduanya, beliau terus menoreh batang pokok untuk mengeluarkan getah. Ia tidaklah salah, cuma untuk kerja yang lebih efektif lebih baik jika ia dibuat satu-satu. Fokuskan satu hari untuk membuka tapak torehan sahaja, jangan keluarkan getahnya. Selesai semua pokok dibuka tapak torehannya, baru mulakan kerja-kerja menoreh.

Biasanya pekerja mahir ambil masa sehari untuk menoreh 600 pokok. Kalau dalam satu hari kita nak buka tapak torehan, dalam masa yang sama mahu menoreh, berapa lama masa yang kita akan habiskan untuk kebun 1 hektar dengan kapasiti 400 pokok? Apa-apa pun, salute untuk lelaki tu sebab laju juga dia menoreh :) Sekian komen mengenai video.

Nak tengok video mengenai cara membuka sudut torehan yang betul? TONTON VIDEO YOUTUBE INI

Berkenaan sudut torehan, sudut torehan berbeza mengikut jenis pokok. Ada dua jenis pokok getah yang kita tanam. Satu, jenis klon batang (ini istilah saya), di mana semasa peringkat anak pokok, kita mencantumkan tunas getah terpilih kepada pokok induk. Kalau tak salah saya, jika mahu dibeli di nursery getah, namanya Benih Cantuman Muda Polibeg (BCMP). Jenis kedua ialah jenis klon biji (ini istilah saya), di mana pokok ini disemai daripada biji getah dan terus membesar tanpa dikahwinkan dengan mana-mana pokok.

Untuk membezakan kedua-dua jenis pokok ini, kita boleh lihat pada batangnya. Batang pokok getah klon batang (yang BCMP tadi) lurus sahaja, dengan saiz yang hampir sama dari pangkal hingga ke atas. Pada pangkal pokok ini biasanya terdapat benjolan, kesan daripada cantuman semasa pokok masih kecil dulu. Bejolan ni saya panggil kebuk. Sementara itu, batang pokok getah klon biji pula besar di bahagian pangkal, dan semakin kecil menuju ke bahagian atas menjadikannya seolah-olah berbentuk kon.

Perhatikan perbezaan pada kedua-dua pokok di bawah. Fokus pada pangkalnya:

getah BCMP

Klon batang

getah klon biji

Klon biji

Ok, sambung tentang sudut torehan. Untuk pokok getah yang klon batang, sudut torehannya ialah 30 darjah, manakala pokok getah jenis klon biji sudut torehannya 25darjah. Perbezaan ini disebabkan oleh tempoh yang diambil untuk getah membeku, yang mana getah klon batang membeku lebih cepat berbanding getah klon biji.  Pada sudut 30 darjah, getah dapat turun ke mangkuk tadahan dengan lebih cepat.

Sudut torehan

Baik, sekarang ni masuk bab menoreh. Untuk menoreh ni, kita guna formula 1/2s d2 , maksudnya kita toreh setengah lilitan pokok (1/2s) 2 hari sekali (d2). Kalau kita menoreh 3 hari sekali, formulanya 1/2s d3 (d3 merujuk kepada 3 hari sekali). JANGAN toreh pokok getah yang sama setiap hari! Kalau hari ini kita sudah toreh pokok tu, esok jangan toreh lagi. Lusa baru boleh ditoreh.

Kenapa? Ni saintis yang buat kajian. Perbuatan menoreh setiap hari boleh menyebabkan pokok tidak tahan lama. Kalau kita toreh ikut masa yang disyorkan iaitu dua hari sekali, insyaALLAH pokok akan tahan seperti yang sepatutnya, iaitu sekitar 25 tahun.

Kalau kita ikut aturan yang sepatutnya, kita akan menoreh sebelah pokok untuk 5 tahun pertama dan sebelah yang lagi satu untuk 5 tahun kedua. Seterusnya, kita toreh semula sisi yang mula-mula tadi untuk 5 tahun ketiga diikuti sisi yang lagi satu untuk 5 tahun terakhir. Rujuk gambarajah di bawah untuk lebih kefahaman.

Kulit Getah (2)

Merujuk kepada gambar di atas, BO-I (disebut ‘be o one’) ialah kulit yang ditoreh untuk 5 tahun pertama, BO-II untuk tahun ke-6 hingga tahun ke-10, BI-I (disebut ‘be I one’) untuk tahun ke 11-15 dan BI-II untuk tahun ke16-20. Pada tahun ke 20 torehan iaitu semasa usia pokok getah 25 tahun, ia sudah boleh ditebang dan dijadikan kayu balak.

Penting untuk kita ingat, jangan toreh kulit pokok getah tebal-tebal. Toreh senipis yang boleh, sebaiknya dengan ketebalan 1mm. Tebal atau nipis kulit yang kita toreh, sama sahaja jumlah getah yang keluar. Jadi, lebih baik kita jimatkan kulit pokok tu, supaya boleh tahan sampai 5 tahun untuk sebelah sisi. Apa pun, saya tak dapat nak toreh nipis-nipis, tak pandai! Hehe. Memang saya respect dengan penoreh-penoreh getah yang biasanya memang boleh menoreh nipis-nipis.

Oh ya, seperkara lagi, torehan pokok hendaklah dibuat dari kiri ke kanan, bukan dari kanan ke kiri. Lihat gambar di bawah.

arah torehan yang betul

Ini arah torehan yang betul

arah torehan yang salah

Ini arah torehan yang salah

Kenapa torehan lebih baik dibuat dari kiri ke kanan? Perhatikan gambar di bawah:

 arah torehan getah

Rujuk gambarajah A dan B. Dalam gambarajah A, apabila arah torehan dibuat ke kiri, lebih banyak urat getah yang terpotong, menghasilkan lebih banyak susu berbanding gambarajah B, di mana lebih sedikit urat getah yang terpotong menghasilkan sedikit susu getah. Ini berdasarkan apa yang tenaga pengajar kami beritahu di UPM.

Sekarang ni kita masuk bab yang paling menarik bagi saya, iaitu bab untuk membanyakkan hasil susu getah. Untuk membanyakkan susu getah, sistem yang kita guna dipanggil sebagai LITS (Low Intensity Tapping System) di mana formulanya ialah 1/8s d3 atau sesetengah cara, kita boleh dapat 1/8s d4.

Maksudnya, kita hanya menoreh 1/8 daripada ukurlilit pokok dengan kekerapan 4 hari sekali. Dalam kata lain, hari ini kita menoreh, 3 hari lagi baru kita menoreh semula. Di sini, kita dapat jimatkan masa kita dan kalau kita upah orang untuk menoreh, kita dapat kurangkan kos pekerja.

Setakat yang saya tahu, ada tiga alat yang digunakan untuk banyakkan susu getah dan alat ini hanya boleh digunakan apabila getah mencapai usia 15 tahun iaitu apabila kita mula menoreh pada kulit BI-I. Mungkin boleh juga jika mahu digunakan pada pokok muda, cuma ia akan memendekkan hayat pokok. Wallahua’lam. Dapatkan dahulu khidmat nasihat daripada pengeluar produk nanti.

Alat ini konsepnya sama, di mana ia memasukkan gas perangsang, ethylene ke dalam pokok getah. Cuma, bentuk dan cara penggunaannya yang berbeza. Berikut saya senaraikan alat yang boleh digunakan:

Yang pertama ni namanya Reactorrim. Alat ini ada masalah iaitu sering dicuri oleh monyet mahupun manusia.

LITS Low Intensity Tapping System reactorrim Banyakkan Susu Getah

Nama sistem ini Reactorrim. Gas dimasukkan ke dalam botol dan dilepaskan kepada pokok. Salur getah dipakukan ke dalam pokok untuk menyalurkan gas.

Sistem kedua ini namanya Rrimflow. Kebuk plastik dilekatkan ke batang pokok dan dimasukkan gas. kulit pokok yang ditutup dengan kebuk ini terlebih dahulu dicukur dengan alat khas.

Ini namanya Rrimflow

Ini namanya Rrimflow

Sistem ini namanya G-Flex. Lebih murah dan lebih mudah berbanding sistem sebelum ini. Sama juga, gas perangsang dilepaskan ke ruang terkurung antara alat ini dan kulit pokok.

G-flex untuk merangsang susu getah

G-flex untuk merangsang susu getah

Seterusnya, kita boleh menggunakan cecair perangsang untuk membanyakkan susu getah. Bahan aktif dalam cecair ini ialah Ethephon. Cecair ini dijual dalam 3 kategori, iaitu berwarna biru, hijau dan merah. Warna ini menentukan peratus bahan aktif dalam produk tersebut di mana botol biru mengandungi 2.5% ethephon, hijau 5% dan merah 10%.

Cecair ethephon dalam botol berwarna biru dikhususkan untuk pokok getah muda dan yang berwarna merah untuk pokok tua. Maknanya, anda masih boleh meningkatkan pengeluaran susu getah walaupun pokok masih muda. Yeay!

Ini dia bahan perangsang yang mengandungi ethephon:

ethephon penggalak susu getah

Ethephon penggalak susu getah

Ini pula cara menyapu ethephon:

menyapu ethephon penggalak susu getah

Sapukan ethephon penggalak susu getah pada alur torehan. Toreh selepas 6 jam cecair ini disapu. Kalau hujan turun, kena sapu semula. Haha.

Wah, seronoknya dapat banyak susu getah! Haa, jangan seronok sangat sampai lupa dunia. Ingat, apabila kita mengambil lebih banyak susu getah, pokok getah memerlukan lebih banyak nutrien. Jadi, lebih banyak susu getah yang kita ambil, lebih banyak baja yang perlu kita berikan kepada pokok.

Kalau anda tak berikan baja tambahan, jangan salahkan saya kalau pokok getah anda mati awal. Bab pembajaan ni eloklah kalau dapatkan nasihat pakar atau nasihat saya sendiri bila saya dah jadi pakar. Entah bila. Hehe.

Ok, saya rasa itu saja yang saya dapat kongsikan dalam artikel kali ni. Semoga bermanfaat hendaknya.

Sekian, semoga bermanfaat.

 

Komen Pembaca

  1. By Atam

  2. By Mohamad daud bin mat yusoff

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Pinterest